DepressionDissociative IdentityPTSD

Journey To Recovery: Have Faith

Penulisan ini merupakan sambungan daripada episod sebelum ini:

Journey To Recovery: Of Hopes And Prayers

 

Kalau lah hidup saya ini seperti kisah-kisah DID yang dipaparkan di kebanyakan drama-drama korea itu, saya pasti bahagia. Ada duit berkepuk, ada rumah sendiri, ada kerjaya sendiri, datang dari family yang kaya raya, dan yang paling penting, ada orang yang dipercayai untuk menguruskan segala yang berlaku pada dirinya.

Tapi itu…cerita korea, jaraknya jauh daripada Malaysia, dan pasti tersangatlah jauh bezanya dari kisah hidup seorang Johana. Johana ini datang daripada keluarga yang biasa-biasa saja. Tidak lah terlalu kaya, dan tidak lah miskin tahap papa kedana. Biasa-biasa saja.

Johana ini, jika berlaku ‘kekecohan’ disebabkan ‘DID’ nya, jarang sekali ada orang akan bantu untuk menguruskan, apatah lagi untuk cuba membetulkan kembali keadaan.

Johana ini, tidak memiliki duit berkepuk-kepuk, setakat mengharapkan duit pinjaman pelajaran sahaja untuk menjalani kehidupan di universiti sekarang ini.

Johana ini, berlaku lah apa-apa sekalipun, biasanya akan keseorangan saja. Menangis seorang diri, merintih seorang diri, dan termenung pun seorang diri.

Dan Johana ini, sekarang ini, sedang resah memikirkan bagaimanalah hidupnya selepas tamat pengajian nanti. Satu semester itu berlalu dengan sangat pantas. Pasti nanti akan tamat pengajian, dan akan grad bersama pelajar-pelajar yang lain.

Saya sedar, tak selamanya saya memegang title pelajar ini. Setahun dua lagi, tamatlah pengajian saya. Betul…orang kata, janganlah terlalu memikirkan masa depan yang masih tidak pasti itu. Serahkan saja pada tuhan yang Maha Merencana itu, rezeki itu milikNya. Tugas kita sebagai hamba, mesti berdoa, berusaha, dan bertawakkal.

Betul.. saya tak nafikan.. Memang betul.

Tapi dalam keadaan ‘cannot function well’ ini, saya tetap resah memikirkan masa depan saya nanti. Saya pernah bekerja dengan beberapa syarikat konsultan, berakhir dengan tidak lagi diterima. Pertukaran identity sewaktu bekerja adalah benda yang paling membuatkan saya risau. Bayangkan saja keadaannya, bagaimana dua orang boleh bekerja dalam satu badan yang sama?

Dengan seorang itu tidak tahu apa yang hendak dibuat, dengan seorang ini tidak ingat apa yang sudah dibuat. Bayangkanlah..

Pernah sekali itu, saya mengikut sebuah konsultan berprogram di sebuah rumah anak-anak asnaf di Klang, Selangor. Setelah tamat program, bos saya meminta seorang stafnya untuk menghantar saya ke TBS, untuk saya berangkat pulang ke rumah setelah dua minggu mengikut mereka berprogram.

Dalam perjalanan, ada suatu triggered yang berlaku menyebabkan saya pengsan, dan berlakulah perturan identity waktu itu. Kecoh lah semua orang jadinya. Saya tidak tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh itu, cuma, saya kembali ‘appear’ keesokan harinya, di sebuah rumah yang saya tidak tahu siapakah pemiliknya.

Rupanya, saya dihantar pada hari semalam ke rumah kawan kepada rakan fasilitator yang bersama dalam program yang saya ikuti sebelum itu. Kemudian, rakan fasi itu datang mengambil saya, untuk menghantar semula ke TBS.

Macam-macam soalan ditanya. Diminta juga untuk berjumpa bos semula untuk menerangkan apa yang jadi.

Waktu itu, saya betul-betul speechless. Nak explain apa yang jadi, risau dengan penerimaan mereka. Nak tak nak, bila makin penat diasak dengan berbagai soalan, saya bagitau jugalah yang saya ini menghidap suatu penyakit mental.

Saya meminta mereka untuk menghantar saya ke mana-mana stesen LRT yang terdekat. Tidak lagi mahu memandang mereka waktu itu. Dengan jelas, reaksi seorang ‘trainer’ motivasi di hadapan saya waktu itu, sangat tidak percaya denagn apa yang saya jelaskan.

Dengan jelas, saya memerhati raut wajahnya yang seakan tidak puas hati kerana mendengar cerita saya yang tidak masuk akal itu.

Dengan jelas, saya mendengar nada suaranya mula mengejek dan melayan saya dengan sinis.

Rasa mahu menangis, tapi ditahan saja. Saya segera mahu menamatkan perbualan dan pertemuan itu. Malangnya, ‘panic attack’ sekali lagi menyerang. Saya minta untuk berlalu ke tandas. Terus masuk, dan bersandar pada dinding. Sakitnya dada saya ketika itu, termengah-mengah mencari nafas yang terasa semakin sempit.

Badan mula lemah, penglihatan makin kabur. Saya tidak mahu mereka melihat keadaan saya yang teruk itu.

Tiba-tiba, pintu tandas yang saya duduk itu ditolak dari luar. Rupa-rupanya, saya lupa untuk menguncinya tadi. Rupanya, akak ‘trainer’ yang saya kira ‘tak suka’ saya itu yang masuk. Dia sangat terkejut melihat keadaan saya waktu itu, dan segera berlari keluar memanggil rakan-rakannya yang lain termasuk lah bos sendiri.

Semua datang menerpa saya. Perasaan waktu itu, hanya ALLAH yang paling mengerti. Suasana mula kecoh, saya dapat menangkap ‘akak trainer’ itu meminta rakannya untuk menghubungi ambulans. Saya mula takut.

Tidak, saya tidak mahu ke hospital!

Saya kuatkan diri untuk cuba bangun, walaupun kaki dan badan terasa sungguh tidak bermaya, saya kuatkan hati. Saya terus ke meja yang ditinggalkan tadi, mengambil beg, dan terus berlari keluar daripada restoran itu. Akak trainer itu mengejar saya. Kemudian, dan saya tidak mempedulikannya. Tiba-tiba, saya terdengar dia menjerit.

Memberitahu akan report pada polis kalau saya tak berhenti waktu itu. Saya menangis. Ketakutan. Selebihnya, sedih kerana diperlakukan begitu. I see humans in front of me. But not humanity.

Sudahlah tidak bertanya langsung apa yang terjadi pada saya ketika itu, dimarahi dan diherdik pula di hadapan orang ramai. Mereka meminta saya masuk ke kereta, dan menghantar saya ke TBS semula. Saya hanya diam tidak terkata. Mereka rancak saja berbual sesame mereka, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Ikutkan hati saya ketika itu, mahu sahaja saya terjun dari pintu kereta itu. Saya diturunkan, dan diminta segera untuk membeli tiket bas. Oleh kerana waktu perjalanan masih lambat, saya meminta mereka pergi tinggalkan saja saya di situ. Saya mahu bersendirian. Tidak mahu bercakap apa-apa dan yang paling utama, saya tidak mahu melihat muka mereka lagi.

Saya ke surau, mengambil wudhuk, dan cuba untuk bertenang.

Sekali lagi saya rasa sangat terluka, sangat sedih dengan perlakuan mereka yang saya kira, orang bidang motivasi ini, pastilah baik dan elok saja melayan siapa-siapa sahaja di depan mereka. Tetapi saya silap, betul lah, betapa masih ramai dalam kalangan kita ini yang tidak tahu langsung tentang penyakit mental.

Saya membuka phone, cuba untuk distract sekejap kesedihan saya waktu itu. Sekali lagi saya ditimpa kesedihan yang amat, bila terlihat, post baru yang di upload oleh akak trainer tadi di laman instagram miliknya. Gambar itu kelihatan dia sedang bersama dua orang kawannya yang turut sekali menghantar saya ke TBS sebelum itu, bersama caption yang bertulis;

“done layan pesakit mental hari ini, keletihan yang teramat. Entah apa-apa saja, hahaha’’.

Sebab saya tahu caption itu memang disebabkan oleh saya, saya terus menangis. Selepas kejadian itu, saya dilanda satu lagi episode kemurungan. Dan Alhamdulillah, saya ‘survive’ untuk episode itu.

Semasa di pengajian diploma, saya menjalani latihan praktikum di Unit Kaunseling dan Kerjaya Pelajar, kolej saya sendiri. Untuk ‘play safe’ demi memastikan saya boleh menamatkan pengajian diploma saya di semester akhir itu, saya tidak berani untuk memohon praktikum di syarikat-syarikat luar. Sangat takut dengan penerimaan dan sangat takut dengan kesannya nanti.

Apa maksud cannot function well ni sebenarnya?

Macam biasa, saya berikan contoh yang pernah saya alami. Pernah supervisor praktikal saya meminta saya untuk membuat beberapa surat rasmi dan memorandum untuk diserahkan kepada semua staf kolej. Untuk menyiapkan surat dan memorandum itu, saya mengambil masa yang sangat lama. Saya sangat stress dan tertekan dengan tugasan itu, apabila di print sahaja, pasti akan ada saja silapnya di mana-mana.

Saya sudah cuba untuk meneliti satu persatu setiap isi surat itu, tetapi sebelum print out, saya memang tidak perasan akan kesilapan yang dilakukan. Sudahnya, saya berulang-ulang print sekeping memorandum yang sama, sampai habis satu kajang kertas.

Bersepah bilik boss saya waktu itu. Penuh dengan rough paper.

Bila tersedar, saya akhirnya menangis. Merasa diri sangat tidak berguna. Kerja semudah ini pun tidak mampu buat, macam mana hendak buat kerja yang lebih besar?

Saya mengalami masalah untuk fokus. Bila buat satu-satu kerja, saya tidak boleh fokus lama. Rasa macam distract dengan sesuatu. Penglihatan juga terganggu, terasa melihat sesuatu di depan saya ini seperti sedang bertindih dua.

Jika dalam kelas, saya memang tidak boleh fokus lama dengan syarahan pensyarah. Selalunya, saya record saja dengan phone saya. Sekurang-kurangnya, dapatlah saya dengar semula di bilik apa yang dipelajari hari itu.

Waktu exam, waktu yang paling meresahkan. Soalan objektif, saya memang totally failed. Saya mengambil masa yang sangat lama untuk membaca dan memahami setiap soalan. Bila baca pilihan jawapan, makin lah pening. Selalu saja saya menangis ketika waktu exam, kerana tidak dapat memahami langsung soalan soalan yang di dalam kertas exam itu.

Bila bekerja, saya tidak boleh dengan arahan yang meleret-leret dan panjang. Saya mesti akan bertanya beratus kali untuk mendapatkan kepastian, apa sebenarnya yang yang mesti saya kena lakukan. Ye, sama saja seperti memberi arahan kepada kanak-kanak, mesti pendek, dan straight to the point.

Pernah boss saya waktu praktikum dulu, mengajak saya untuk bersama-sama dalam mesyuarat, diminta untuk mencatat minit mesyuarat. 4 jam mesyuarat berlangsung, saya hanya termangu dan terkebil-kebil. Hanya di awal saja dapat mencatat, selebihnya saya hanya mendengar dan melihat saja mereka sedang bermesyuarat.

Selepas dari itu, bos saya, merangkap kaunselor saya, mula menukar bidang tugas saya sewaktu praktikum. Untuk memastikan saya mendapat peluang dan pengalaman yang sepatutnya sebagai seorang pelatih, beliau mula mengenal potensi yang ada dalam diri saya.

Tanpa saya sangka, bos memberi kepercayaan kepada saya, untuk merancang, mengendalikan, dan menjayakan program-program di pusat kaunseling dan kerjaya pelajar itu. Dengan persetujuan satu group pelajarnya, mereka diminta oleh bos saya untuk membantu apa saja yang saya perlukan.

Kepercayaan itu sangat saya hargai, dan saya manfaatkan sebaik mungkin. Sepanjang saya menjadi pelatih di situ, saya berjaya menganjurkan 12 program. Segala isi program, perjalanan program, dan ‘apa yang dimahukan dalam setiap program’ semuanya dari idea saya. Bos hanya pantau sahaja.

Dan kesemua program itu, adalah di bawah arahan dan seliaan saya.

Dan ada satu program yang dianjurkan, telah mendapat anugerah program CSR terbaik peringkat IPMA. Pernah diberi kepercayaan untuk mengendalikan satu program motivasi selama tiga hari di sebuah sekolah menengah, dan pihak sekolah sangat berterima kasih pada saya, mengatakan program itu sangat bagus dan sangat memberi kesan pada pelajar yang terlibat. Pihak sekolah sampai buat surat penghargaan khas pada pihak kolej, benar-benar menyatakan penghargaan mereka atas jayanya program tersebut.

Dengan pengalaman dan kepercayaan yang diberikan, dari situ saya mula belajar untuk percaya yang saya ini juga ada gunanya sebenarnya. Betul, kalau saya nak bekerja nanti, rakan sekerja atau bos saya itu mestilah sangat memahami keadaan saya, percaya pada saya, dan beri peluang pada saya.

Tapi…… macam mana saya nak minta semua ini.

Saya masih ingat, selepas saya tamat pengajian diploma, saya pernah bekerja di sebuah restoran franchise. Saya ditugaskan untuk mengambil order pelanggan yang datang, tapi sayangnya saya tidak mampu melaksanakan tugas itu dengan baik.

Acap kali dimarahi pelanggan dan customer, keranan tersilap mengambil order. Lain yang orang order, lain yang kita catit. Sudahnya, saya diberhentikan selepas hanya seminggu bekerja di restoran itu.

Pernah juga saya bekerja di sebuah gerai goreng pisang. Kerja di gerai itu, tidak tetap tugasnya, ada masa kena cuci pinggan, ada masa kena layan pelanggan yang datang membeli. Paling takut bila saya diminta untuk melayan pelanggan yang datang membeli.

Kalau setakat pelanggan tu nak beli RM1 goreng pisang, saya ok lah lagi. Tapi kalau dah sampai yang diminta itu berbelas-belas ringgit, saya mesti akan pening nak kira. Sudahlah dengan pisang yang berbagai jenis, dihulur pula duit yang bernilai besar. Haru saya nak pulangkan baki. Banyak kali tersilap, ada yang datang semula pulangkan bila saya terlebih beri duit baki, ada juga yang diamkan diri.

Sudahnya, saya dimarahi. Sudahnya, saya yang minta berhenti. Rasa tidak sanggup untuk meneruskan kerja di tempat itu lagi.

Saya juga ada impian untuk dicapai. Saya sangat minat pada dunia motivasi. Dan pokok dunia ini, adalah psikologi. Bila ada saja program berkenaan psikologi, saya akan usahakan untuk mengikutinya. Bila berjumpa dengan orang yang juga meminati bidang ini, saya boleh sembang 24 jam dengannya.

Dan perkara yang paling saya suka dalam cabang psikologi ini adalah, dunia kaunseling.

Saya membenci guru kaunseling sewaktu sekolah. Dengan turning point di unit kaunseling sewaktu di pengajian diploma, saya mula jatuh cinta. I turn the pain into passion. Selalu sahaja buku-buku kaunseling dan psikologi akan menjadi perhatian saya. Sanggup menahan lapar demi membeli buku-buku berkaitan bidang ini.

Saya memang bercita-cita mahu bekerja di bidang ini suatu hari nanti. Bidang ini sangat dekat di hati saya.

Dengan niat mahu mendekati, memahami, dan mendalami mereka yang pernah senasib, saya mahu membantu! Tapi sebelum saya mula bantu orang, bukan kah sepatutnya saya bantu diri saya dahulu?

Saya masih ingat, betapa kecewanya saya bila permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kaunseling di UUM tidak diterima, sebaliknya saya diberi jurusan yang langsung tidak pernah saya expect akan ambil.

Niat utama saya untuk ambil jurusan ini, bukan seperti alasan biasa yang kita dengar. Sebab minat.. bla..bla..bla.. Niat utama saya, adalah saya mahu bantu diri saya! Saya yakin dengan bidang ini, saya akan belajar mengenali diri sendiri. Saya yakin bidang ini dapat memujuk hati dan jiwa saya yang sangat broken ini.

Berulang-kali naik turun jumpa dekan course kaunseling waktu itu, memberitahu dan merayu-rayu pada beliau untuk membenarkan saya mengikut serta bidang itu.

Setiap kali lalu di pusat pengajian kaunseling, saya mesti akan menangis. Rasa sangat terkilan. Murung teruk waktu itu. Tapi, nak buat macam mana, result diploma saya tak sampai tiga pointer pun.

Saya masih ingat, saya pernah bertembung dengan seorang pensyarah kaunseling yang sudah lama saya follow dia laman FaceBook. Beliau ini sangat aktif dengan ‘Art Therapy’ dan merupakan antara orang besar dalam bidang ini di Malaysia.

Reaksi saya waktu itu, saya sangat teruja, tidak berkelip mata memandangnya, seperti melihat artis pujaan sedang berdiri di depan mata!

Saya mahu menggapai impian saya. Mahu bekerja dan menyara kehidupan saya sendiri. Mahu merasa bahagianya bila dapat menghulur sedikit wang kepada emak dan ayah hasil daripada usaha sendiri. Mahu merasa bahagianya dapat bersedekah lebih pada mereka yang memerlukan. Mahu memiliki kehidupan yang lebih baik.

Betul wang ringgit itu bukanlah segala-galanya, tapi hidup di zaman ini, segala-galanya memerlukan wang bukan? Tamat pengajian nanti, saya akan berpisah dari social support yang saya ada sekarang ini.

Bagaimanalah saya akan menjalani kehidupan saya, jika masih tidak bebas dari kecelaruan mental ini.

Worries end when faith begin.

Wherever I go and whatever I do after this, may ALLAH would always be with me.

Till then, have faith Johana, have faith.

p/s: I want to sent you an email Brother Aiman, but I just feel so scared, I don’t know why I’m scared, it just.. I’m scared.

Kisah Johana ini bersambung di part kesembilan: Journey of Recovery: Akan Terus Pegang Bingkai Memori Ini

Berminat untuk menghantar kisah “perjuangan dalam senyap” anda? Klik di sini

Komentar FB

Komen

%d bloggers like this: