Penulisan ini merupakan sambungan daripada episod sebelum ini:
Journey To Recovery: A Scar That Never Heal
OGOS 2015 WAD DAHLIA JABATAN PSIKIATRI HOSPITAL TUNKU AMPUAN AFZAN, KUANTAN, PAHANG
Overdose. Telan dua papan ubat. Ubat apa? Entah, saya tak ingat. Tanpa sedar. Ye, tanpa saya sedar saya telan ubat tuh. Sedar-sedar saja saya sudah berada di hospital, sedar-sedar saja sudah ada wayar drip di tangan. Sedar-sedar saja rasa perit dan pedih di tangan, kelihatan tangan kanan sudah berbalut dengan bandage, kesan ‘cut’ masih fresh waktu itu.
It was night that time. And I feel so scared.
Lepas selesai urusan di bahagian kecemasan, saya dihantar ke Wad Psikiatri yang berada di bahagian luar dan belakang jabatan kecemasan dan trauma, agak jauh dari main building.
Mula-mula pelik, kenapa wad psikiatri ni bergril, dan rapat dikunci. Dah masuk. Suasana suram. Rasa macam masuk abandon hospital pun ada masa tu… Ada dua orang nurse yang dah siap tunggu. Diminta duduk, sambil tangan mula mengigil. Mata liar memerhati tiap ceruk bangunan itu.
Di hadapan kaunter nurse itu berdiri, ada 6 buah bed yang diasingkan dari bed yang lain, dan bed itu berada berada di sebalik sebuah gerigil besi. Eh, macam penjara! Itu yang terdetik di hati saya waktu itu.
Di sudut hujung ruangan katil itu, terdapat sebuah tandas duduk, dan shower disebelahnya, ditutup sedikit sahaja dengan dinding yang rendah. Maknanya, kalau nak mandi, atau buang air, orang akan nampak lah, sebab tandas tu memang terbuka.
Terkejut bukan kepalang saya waktu itu. Maklumlah kali pertama melihat wad seperti itu, elok sikit sahaja dari penjara, tapi tetap ianya tak ubah macam penjara. Takut betul saya masa tu, dengan phone yang masih di tangan, saya cuba whatsapp kawan di kolej.
Cuba menenangkan hati yang sedang gundah gulana, sampailah tiba-tiba saja nurse itu mengahmpiri saya, dan memberitahu, dalam wad ni, tak boleh pakai phone.
Sinis bunyinya. Saya menjawab dengan pertanyaan, mengapa?
Akak nurse tu cuma gelak saja bila saya tanya macam tu. Then, datang lah seorang doktor lelaki, berjalan perlahan sambil tersenyum memandang saya. Almost 3 jam bersoal jawab, endingnya saya disuruh menukar pakaian dan menyerahkan kesemua alatan yang dibawa. Jam tangan, telefon, baju, tudung, anak tudung, semuanya mesti diserahkan.
Ouh rupanya, bila admit ke wad psikiatri, semua barang-barang peribadi adalah tidak dibenarkan sama sekali. No contacts with the outside. Bukan ke sama macam dalam penjara?
Saya mula berasa sedih. Tidak pernah mengalami perkara sebegitu. Suddenly, panic attack start to attack again. I suddenly fell down in front of the doctor and the nurses. I feel weak, and I can’t even stand right on that time.
Entah mengapa, tiba-tiba saja nurse itu menjerit. Kasar saya diangkat. Saya dengar suaranya meninggi. I still remember nurse tu cakap, saya buat-buat pengsan.
Wallahi… I feel scared on that time. Saya tak pengsan pun masa tu, saya Cuma terjatuh dan rasa sangat tak larat. Mata saya masih boleh dibuka, saya sedar keadaan saya waktu itu. Dengan kasar, nurse tersebut mengangkat saya ke atas bed, dan segera mengikat kaki dan tangan saya ke besi bed tersebut.
Saya menangis. Ketakutan.
Lantas bertanya pada doctor di hadapan saya masa itu, kenapa tangan dan kaki saya diikat? Saya tak tahu apa prosedur or S.O.P or whatever rules dekat wad psikiatri. Masa tu saya rasa saya betul-betul dilayan macam ORANG GILA. Orang yang tak ada hati dan perasaan.
Saya tengok doctor kat depan saya masa tu, dengan jelas saya dengar dia bertanya pada nurse tersebut, “rasanya tak perlu sampai ikat akak..” jelas saya dengar. Tapi, malangnya doktor tu kena marah balik dengan nurse. So, end up, dia diam.
Saya tau dari raut wajah doktor itu, dia sangat kasihankan saya. Perlahan dia datang ke tepi bed saya, bisik ke telinga saya, bagitau suruh saya tidur dan rehat. Katanya, esok mereka akan buka ikatan tu. Sambil menangis, saya minta doktor tu ambilkan saya sekeping naskhah surah yassin.
Rasa seperti seluruh kekuatan saya sudah habis hilang entah ke mana.
Saya begitu terkejut dengan perlakuan nurse tadi, dan saya tidak mampu berbuat apa-apa. Diberi ubat tidur, dan saya masih lagi tidak berhenti menangis. Seorang pesakit perempuan yang saya kira jauh lebih muda dari saya, sedang baring di atas katinya bersebelahan dengan katil saya, memandang saya dengan pandangan yang cukup sayu.
Perlahan dia membisik pada saya, katanya, jangan nangis, dalam wad ni tak boleh nangis, nanti nurse marah.
Saya cuba membelek surah yassin dengan sebelah tangan sahaja, cuba membaca dengan hati yang cukup sayu dan sedih. Ketika itu, saya menggantung sepenuh pengharapan pada ALLAH swt. Sungguh, waktu itu saya sangat sedih. Sangat takut dan sangat lemah. Mengharapkan kalimah-kalimah suci dari surah yassin itu mampu meniup sedikit kekuatan.
Dan akhirnya, saya terlena dalam linangan air mata pada malam itu. Berlalu lah satu malam yang saya rasa cukup menyeksakan sepanjang hidup saya selama itu.
Pagi itu, saya terjaga dikejutkan dengan azan subuh yang jelas kedengaran.
Wad mulai sibuk. Nurse bertukar syif namun nurse yang semalam itu masih ada pagi itu. Saya meminta di bukakan ikatan, hendak menunaikan solat subuh. Sekali lagi saya dilanda kesedihan yang amat.
Tidak dibenarkan solat, dan nurse tu beritahu pada saya, qada’ saja nanti bila dah discharge. Nurse yang sama mengikat kaki dan tangan saya semalam. Sampailah doktor yang semalam itu masuk ke ruangan bed saya, sekali lagi saya minta dibuka kan ikatan.
Bersungguh saya bagitahu, saya mahu solat!
Saya cuba untuk tidak menangis. Doktor tersebut memberitahu pada nurse supaya dibukakan ikatan, melihatkan keadaan saya yang sudah stabil pada waktu itu. Stabil lah pada luaran, dalam hati, ribut taufan puting beliung semua ada. Takpe.. saya kena sabar. Saya takut, nanti tak pasal-pasal kena ikat balik.
Saya beritahu nurse, saya nak mandi.
Yes, saya dibenarkan untuk mandi tapi dalam pengawasan nurse. Saya dibenarkan mandi di ruangan bilik air di hujung 6 katil di sebalik gerigil besi yang saya tengok semalam. Saya boleh mandi, tapi depan saya, kena ada nurse yang tunggu.
How can saya nak mandi depan pesakit-pesakit lain boleh nampak saya, dan depan nurse tu sendiri?
Alihnya, saya cuma gosok gigi saja. Saya bukan nye tak waras. Saya bukannya gila. Saya bukannya tak sedar apa yang berlaku. Saya masih tahu malu untuk mandi dihadapan orang! Terbuku geram dan marah di dada saya ketika itu.
Lebih menyakitkan, saya hanya mampu pendam saja, menahan rasa seorang diri.
Saya tunaikan solat subuh di balik gergil besi yang berkunci pada jam 8 pagi. Sudah lewat, tapi tetap saya tunaikan. Lama saya berteleku atas di atas sejadah, melayan perasaan bersama dengan linangan air mata. Tiba-tiba, ada nurse datang, minta saya untuk bukak telekung.
Sempat berkata pada saya, orang macam awak ni tak perlu solat lama-lama. ORANG MACAM AWAK. Adakah maksudnya, orang gila seperti saya? Ayat itu sungguh menghiris perasaan saya.
Siapa dia yang nak menilai urusan ibadah saya? Kenapa jahat sangat mulut nurse ni? Tak boleh nak cakap elok-elok ke?
Betul, saya rasa dilayan persis ORANG GILA, Tapi ORANG GILA pon tetap ada perasaan.
Makin saya mengerti, siapa yang lebih gila sebenarnya, bukanlah penghuni di dalam wad itu, tetapi sebahagian nurse yang melayan pesakit acuh tak acuh sahaja seperti langsung tidak ada perasaan itulah yang GILA sebenarnya!
Itu lah yang bermain dalam fikiran saya ketika itu. Ramai doktor yang berjumpa dengan saya pagi itu. Sekejap-sekejap ada saja nurse yang datang buka besi gril, memanggil saya ke depan untuk berjumpa dengan doktor.
Oleh kerana penat dengan persoalan yang sama, saya menolak untuk berjumpa doktor ketiga yang memanggil. Saya cakap, kalau doktor tu mahu jumpa saya, datanglah dekat saya, kenapa saya yang kena pergi dekat dia?
Gaya sesi ‘history taking’ tu tak ubah seperti seorang polis yang sedang menyoal siasat pesalah, sambil di kiri dan kanan saya ada dua orang nurse yang sedang bersedia untuk bertindak kalau-kalau saya bertindak di luar kawalan.
Macam manalah saya nak ‘share cerita’ saya dengan doktor tu. Tak ada privasi langsung. Sungguh tak selesa sesi itu bagi saya. Saya demand? Saya banyak complain? Say anything you want. Saya tak kata nurse tu jahat, saya tak kata doktor tu tak bertauliah. Saya cuma share apa yang saya lalui dan apa yang saya rasa ketika itu saja.
Percaya atau tidak.. terpulang.
Doktor memberitahu bahawa ibu dan ayah saya sudah dihubungi, dan dalam perjalanan ke hospital untuk mengambil saya pulang ke rumah. Saya masih ingat, berlaku sedikit pertengkaran antara saya dengan doktor tersebut bilamana saya bertanya satu soalan pada beliau.
Doc, do you really care about your patients? I do. Is that true? Because that is not what I feel when you start to judge me without knowing my whole story first. Then, it’s up to you. Okay then. Maybe you’ve just paid to care.
Dan saya terus berlalu ke bed saya meninggalkan doktor tersebut yang telah mula berubah air muka itu. Pertanyaan saya yang terakhir itu, memang sengaja saya ‘stres’ kan pada doktor tersebut.
Wallahi.. I cant accept that psychiatry doktor yang boleh judge saya macam-macam dalam keadaan saya masih lagi sangat tertekan dengan apa yang berlaku semalam.
I’ve met a lot of psychiatry doctor before this, and I know the feelings when the doctor itself are judging their own patient. Yes, mereka yang berada di line medical pun ada yang masih tidak mampu memahami sepenuhnya derita pesakit-pesakit mental ini.
Well, nobody perfect right.
Sebab itulah saya jarang mematuhi waktu appointment saya dengan doctor psikiatri sewaktu belajar di Kuantan dahulu. Sebab saya rasa appointment yang saya jalani tidak membantu dan, kebanyakannya saya berasa tidak selesa dalam setiap sesi tersebut.
Sambil menunggu ibu dan ayah saya sampai, saya tidak lagi dikurung di dalam ruangan besi gerigil. Happy lah sikit at least saya dapat tegur patient-patient yang lain.
Saya mula memerhati mereka, ada yang berkelakuan aneh, bercakap seorang diri, duduk berseorangan, ada juga sekumpulan patient yang sedang duduk berkelompok, berbual dan ketawa sesama sendiri. Ouh, rupanya inilah suasana di wad psikiatri.
Tiba-tiba, datang seorang patient, budak cina yang menegur saya semalam sewaktu saya menangis. Tersenyum, memanggil saya kakak, lalu menghulurkan saya sekeping kertas hasil lukisannya sendiri. Saya senyum, dan memberitahu, cantik lukisannya. Dengan tak disangka, budak cina tersebut menarik tangan saya dan mengajak saya ke katilnya.
Saya hanya mengikut, dan mula berborak. Namanya Mei Ling, berumur 15 tahun. Ceria orangnya. Berambut lurus paras bahu, cantik.
Sambil berborak, mata saya tertumpu pada lengan kirinya. Ada kesan jahitan yang agak panjang dan beberapa kesan parut yang sudah hitam di pergelangan nadinya.
Saya memberanikan diri bertanya, kenapa beliau masuk ke wad ini. Dia beritahu pada saya, I saw someone that didn’t exist. Every night, I heard and saw him play my piano in my house.
Then, laju pula saya bertanya soalan seterusnya, kat mana orang yang awak nampak tu sekarang ni? Laju juga Mei Ling memberitahu, lelaki tersebut sedang berdiri di sebelahnya ketika itu.
Tidak lagi mahu bertanya lebih lanjut, saya mula melukis bersama Mei Ling. Entah dari mana, tiba-tiba ramai pula patient lain yang datang pada kami. Memerhati apa yang saya lukiskan. Kebanyakan patient dalam wad Dahlia itu lebih berumur daripada saya. Ada yang bertanya apa nama saya, kenapa saya masuk ke situ, apa yang saya lukis, semuanya nak berborak dengan saya!
I answer all the question one by one. Rasa macam jadi perhatian pula hari tu.
Semua patient perempuan dalam wad tersebut sedang berkerumun di bed saya. Bukan saya yang minta, diorang yang datang. Saya layankanlah saja walaupun hakikatnya saya langsung tiada mood untuk berbual dengan siapa-siapa waktu itu.
Saya bercerita tentang latar belakang saya, keluarga dan memberitahu yang saya sedang belajar ketika itu.
Kemudian, seorang akak mencelah, memberitahu pada saya, kehidupan saya jauh lebih baik dari dia. Saya tersentak. Terkejut. Persoalan itu membuatkan saya ingin mengetahui sedikit sebanyak kisah hidupnya. Dia memberitahu sudah lebih 10 kali dia dimasukkan ke wad Dahlia ini, kerana tidak dapat dapat menahan panas baran, dia bertindak dengan memukul orang-orang di sekelilingnya.
Terbaru, dia memukul ayahnya sendiri menggunakan helmet milik adiknya. Hati saya diruntun sebak.
Dia menyambung lagi, memberitahu semasa dia kecil, ibunya selalu memukulnya. Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap, selalu dibuang kerja dan keadaan itu membuatnya menjadi sangat stress. Saya memberitahu mereka semua ayah saya dalam perjalanan untuk mengambil saya.
Tiba-tiba, ada seorang patient lain, memberitahu pada saya, “sepanjang 2 bulan saya dekat sini, ayah saya langsung tak datang jenguk saya kak”.
Sekali lagi saya tersentak. Terus menitis air mata.
Rasa beruntungnya dilahirkan dalam family yang masih lagi mengambil berat terhadap saya walaupun tidak memahami keadaan saya sepenuhnya. Saya masih ingat, bagaimana akak tersebut meminta saya mengajarnya berdoa.
“Akak, ajar saya doa boleh?” Saya cakap, boleh, akak nak doa apa? “saya nak doa supaya ayah saya datang jenguk saya kat sini”. Tenang sahaja akak itu memberitahu. Langsung tidak sedih dengan permintaan yang sangat meruntun jiwa saya ketika itu.
Sambil menahan sebak dada, saya meminta akak itu menadah tangan, mengikut saya melafazkan doa. “Ya ALLAH, kau gerakkanlah hati ayah aku, untuk datang jenguk aku di sini, YA ALLAH.”
Itulah ayatnya, bersungguh akak itu mengikut satu-persatu apa yang saya ungkapkan, dan pesakit-pesakit yang di sekeliling katil saya itu juga bersama meng aminkan doa tersebut.
Satu tamparan hebat untuk saya. Terasa ALLAH sedang menegur saya ketika itu.
Lembut sahaja tegurannya, tapi sangat berbekas di hati saya.
Masuk waktu zohor, saya ke ruangan solat yang disediakan di dalam wad itu. Ramai juga yang mengikut, pendek kata, hari itu, ke mana saya pergi, pesakit-pesakit dalam wad tersebut mesti akan ikut saya. Saya biarkan saja, malah senang dapat berbual berkongsi cerita dan dapat bergurau dengan mereka.
Dalam mana mereka berkongsi cerita itu, sempat juga saya selitkan nasihat dan semangat. Terasa semangat saya kembali pulih perlahan-lahan apabila memberi semangat, dan nasihat pada mereka ini.
Selesai saja solat, datang seorang patient yang lain, berusia lingkungan 40an, duduk di sebelah saya. Saya diam sahaja, menunggu dia yang memulakan bicara.
“Akak, boleh tak ajar saya solat? Sepanjang hidup, saya tak pernah solat, saya tengok hidup akak jauh lebih baik dari saya, mungkin sebab akak rajin solat dan saya tak pernah solat, akak ajar saya solat boleh?”
ALLAHU… luluh hati saya dengan permintaan itu. Tamparan ini lebih sakit dari yang meminta saya mengajarnya berdoa tadi. Hari itu, ALLAH menghantar seseorang kepada saya untuk mengajarnya solat.
Di depan akak tu jugak, saya menangis. Saya peluk akak tu. Saya yang minta dipujuk hati saya ketika itu. Rasa tenang apabila akak itu membalas pelukan saya.
Pesakit-pesakit lain yang melihat saya ketika itu, tidak mengerti mengapa saya menangis ketika itu. Ada yang tercengang. Pelik agaknya, kenapa tiba-tiba saja saya menangis, teresak-esak pula tu.
Saya mengajar akak itu solat dengan hati yang sebak.
Dari cara-cara ambil wudhuk, sampailah ke salam yang akhir, akak itu patuh mengikut arahan. Walaupun kekok, saya nampak kesungguhan akak tu untuk belajar solat. Itulah kali pertama saya mengajar seorang hamba ALLAH untuk solat. Usai solat, saya duduk bersama mereka.
Saya lebihkan telinga saya untuk mendengar, dan respon apabila ditanya sahaja.
Saya dapat rasakan, mereka ini normal sahaja sebenarnya. Sama seperti saya, ingin menjalani kehidupan sama saja seperti orang lain di luar sana. Mereka ini mahu didengari, mahu dilayan ceritanya, dan juga mahu dinasihati.
Sungguh, pertemuan kali pertama di dalam wad Dahlia hari itu memberi banyak pengajaran yang tidak ternilai. Kalau semalam, saya datang dengan perasaan takut dan segera mahu pulang, ketika itu, saya mahu duduk lebih lama, berkawan dengan mereka, dengar isi luahan hati mereka.
Selepas Asar, ibu dan ayah saya tiba. Saya tidak ambil pusing dengan apa yang dibincangkan oleh mereka dengan doktor yang bertugas. Saya dibenarkan untuk menyalin pakaian, dan segala peralatan saya dipulangkan. Dalam masa yang sama, pesakit-pesakit wad dahlia masih mengerumuni katil saya.
Semuanya menyatakan, beruntungnya saya sudah dapat pulang dan lagi beruntung saya bila yang menjemput saya adalah keluarga saya sendiri. Sekali lagi saya tidak dapat menahan sebak di dada.
Saya bersalaman dan memeluk mereka. Sempat juga menyampaikan pesan pada mereka untuk terus kuat, dan jangan lupa amalkan doa yang saya ajar pada mereka semua hari itu. Anehnya, mereka sangat gembira dengan saya yang dapat discharge dari wad hari itu, malah lebih gembira dari saya sendiri!
Baru saja ingin melangkah pergi, seorang pesakit yang dikurung sepanjang masa di dalam satu ruangan katil memanggil saya. Di sebalik tirai besi, dihadapannya, dia menghulurkan tangannya kepada saya, sambil tersenyum, dan bertanya, “kamu sudah boleh pulang rumah ke hari ni?”
Akak tu, saya kira adalah berusia dalam 40an juga. Cina, berbadan agak gempal dan tingginya lebih kurang 5 kaki.
Terkejut bukan kepalang saya waktu itu. Sepanjang saya di wad dahlia itu, saya memerhati dari jauh saja akak itu. Kencing beraknya merata. Tidak bercakap dengan sesiapa, dan sangat agresif dengan orang yang lalu lalang di hadapannya. Jelas sangat tidak stabil emosi pesakit ini di mata saya.
Saya membalas pelukannya di tangan saya, dan memberitahu saya sudah mahu pulang ketika itu. Dan dia membalas pelukan itu dengan lebih erat, sambil tersenyum. Saya kira, dia juga turut gembira dengan discharge nya saya dari wad dahlia pada hari itu.
Kemudian, nurse memanggil saya. Memberitahu pada saya, sepanjang pesakit itu ditahan di wad, mereka tidak pernah melihat pesakit itu senyum, apatah lagi mahu berinteraksi dengan baik disusuli body touch yang tidak membahayakan.
Nurse itu beritahu, ada ‘magic’ yang berlaku dalam wad Dahlia hari ini.
Perlahan saya mengatur langkah keluar dari wad itu. Seribu macam perasaan bercampur baur. Langkah diatur dengan tenang, dalam masa yang sama sudah memaafkan nurse yang mengasari saya semalam. Tidak mengapalah. Saya anggap saja, mungkin waktu itu, dia sedang penat dengan kerja-kerja di hospital. Tidak dapat menahan emosi dan tidak sengaja memperlakukan saya begitu.
Sempat juga menoleh kebelakang, melihat lambaian dan senyuman penghuni wanita wad Dahlia mengiringi kepergian saya hari itu. Ligat otak berfikir, apa sebenarnya yang ALLAH hendak sampaikan pada saya kali ini.
Dari perasaan marah dan bingung atas apa yang berlaku, terus bertukar merasa syukur yang amat sangat. Benarlah, tiap yang berlaku pasti ada hikmahNya.
Pesakit-pesakit yang berkongsi cerita mereka dengan saya hari itu membuatkan saya makin rasa bersalah untuk menyalahkan takdir. Saya bersyukur. Dikurniakan ibu dan ayah yang masih lagi ambil berat pada saya. Ayah tidak pernah memukul saya. Mereka tetap datang ke hospital apabila diminta oleh doktor untuk datang.
Lihat mereka tadi, ada yang pernah dipukul teruk oleh ibu bapanya semasa usia kecilnya, ada yang langsung tidak dihiraukan keluarga walaupun sudah dua bulan terlantar di hospital sakit jiwa itu.
Cuma kekurangannya, ibu dan ayah saya tidak dapat memahami situasi dan keadaan saya yang menderita kecelaruan mental ini. Ingat Johana, tiada manusia yang sempurna, terima lah segala kekurangan ibu dan ayah kau. Bersyukurlah! Sekurang-kurangnya ibu dan ayah kau sangat menyayangi dan masih lagi mengambil berat terhadap kau.
Moga dikurniakan syurga buat dua insan yang paling saya sayang ini.
Saya bersyukur, dengan keizinan oleh ALLAH untuk menunaikan ibadatnya yang wajib iaitu SOLAT. Lihat mereka tadi, ada yang sepanjang hidupnya, tidak pernah diajar untuk solat, tidak tahu langsung apa itu solat dan tidak mengerti langsung mengapa kita sebagai hamba wajib menunaikan solat.
Saya pesan pada diri saya, jagalah solat. Walau apa saja yang berlaku, jangan ditinggalkan yang satu itu. Itulah tiang agama kita semua. Jagalah ia sebaiknya.
“Maka…nikmat yang mana lagi yang hendak kau dustakan? “ Ar-Rahman:13
Dua minggu juga saya ambil masa untuk move on dari apa yang berlaku pada saya ketika di Wad sakit jiwa itu. Saya kembali merenung diri, melihat satu-persatu nikmat yang ada di sekeliling saya. Sangat bersyukur dengan kehidupan yang saya miliki ketika itu.
Masih ramai orang yang nasib nya jauh lebih menyedihkan dan memeritkan dari saya.
Then, I learn to stop complaining, and start to look at all the blessings that I have.
Buat kita semua yang sedang diuji dengan ujian masing-masing, bersabarlah. Buka mata, buka hati, jelaslah melihat hikmah di atas setiap yang berlaku. Pasti ALLAH menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pasti.
Terima kasih WAD DAHLIA, untuk satu lagi pengajaran dasyat yang mengajar saya untuk lebih memahami erti kehidupan yang sebenar. Alhamdulillah. Alhamdulillah YA ALLAH, Alhamdulillah for everything.
p/s :
This is my first time I’m throwing out all my feelings into words. All this while, I’ve tried so many time, but it always end up with, I will stuck at the middle, and didn’t know what to write anymore, and then, stop just like that. Didn’t believe that some of them inspired with my story. TQ for the doa. May ALLAH bless. I feel so warm with your advice Brother Aiman. Feels like, I am having a ‘real’ brother rn. Don’t worry, I understand what you mean by being that brother. MashaALLAH, may ALLAH bless you and your family as well.
– Johana –
Kisah Johana ini bersambung di part kelima: Journey To Recovery: Yang Tetap Istimewa
Berminat untuk menghantar kisah “perjuangan dalam senyap” anda? Klik di sini