Mengenai MENTAL

KESIHATAN MENTAL – PATUT AMBIL TAHU ATAU TIDAK?

Hari demi hari, macam-macam berita dan kes dilaporkan mengenai isu “sakit mental” dalam kalangan rakyat Malaysia, yang akhirnya menjurus kepada bunuh diri. Sayang, rakyat kita hanya melihat pada isu bunuh diri, dan automatik menjadi hakim kepada hidup dan mati si pembunuh diri.

“Bakal ahli neraka.”
“Amalan banyak sangat la tu.”
“Haram hukumnya.”

Tanpa menidakkan faktor agama sebagai panduan hidup, bukankah jauh lebih baik jika kita tidak menjadi Tuhan dalam hal ini? Bukankah jauh lebih baik apabila kita mendalami isu, melihat pada akar utama, dan bukan pada cebisan daun sahaja?

Isunya ialah,

KURANG PENDEDAHAN MENGENAI KESIHATAN MENTAL

Percayalah, apabila anda memakai kaca mata yang memahami isu ini, apabila terdedah saja dengan berita melibatkan penghidap masalah mental, anda secara automatik akan terus terfikir,

“Bagaimana aku boleh tolong beliau?”
“Kenapa dengan beliau, dan ada orang tolong beliau tak?”
“Apa cara terbaik supaya aku atau keluargaku tak terkena benda sama?”

dan lain-lain.

SALAH FAHAM TERHADAP PENYAKIT MENTAL

Kita perlu berbalik semula kepada terma yang digunakan.

Apabila disebut “penyakit mental”, kita terus terbayang gila, sewel, tak berakal dan sebagainya. Tetapi hakikat sebenarnya, penyakit mental sama saja kepentingan seperti penyakit fizikal.

Penyakit mental, puncanya daripada otak dan bukankah otak juga sebahagian daripada badan kita? Kita menidakkan pentingnya kesihatan mental, seolah-olah mental itu perkara taboo dan malu untuk dibincangkan.

Mental kita juga sebahagian daripada diri kita.

Sebab itu, kadang-kadang, terma yang lebih sesuai dan lebih mesra digunakan (agar tak timbul salah faham) ialah Kecelaruan Mental (Mental Diorder) dan bukan lagi Penyakit Mental (Mental Illness).

Daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggarkan 1 daripada 3 rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental, dan kebanyakan mereka ini tidak mendapat rawatan atau bantuan profesional.

PUTUS HARAPAN TERHADAP MASYARAKAT

Ramai penghidap kecelaruan mental ini membuat keputusan untuk mendiamkan diri. Sehingga tahap, ada yang merahsiakan daripada keluarga sendiri, termasuklah ibu bapa.

Sebab apa?

Sebab stigma, pandangan keji dan hina oleh orang sekeliling, walaupun daripada keluarga sendiri.

Seolah-olah, apabila ada anak yang disahkan menghidap kanser, seluruh keluarga dan sanak-saudara memberi sokongan, melawat, mendoakan sihat.

Tetapi apabila disahkan menghidap kecelaruan mental seperti Major Depressive Disorder (MDD), Bipolar Disorder, Borderline Personality Disorder atau apa saja, terus, seluruh keluarga jadi malu!

“Tak cukup ke ilmu agama kami ajar?”
“Solat fardhu, puasa, zikir semua buat tak?”
“Nak perhatian la tu.”
“Jangan beritahu orang, buat malu kami sekeluarga je!”

Seringkali, penghidap kecelaruan mental ini berputus asa terhadap masyarakat di sekeliling. Orang yang dipercayai untuk menjadi tempat bergantung harapan, tempat meluahkan perasaan dan tempat mengadu kasih sayang, TIDAK MEMBANTU.

Akibatnya, lama-kelamaan, mereka semakin terpinggir daripada masyarakat (walaupun bukan secara fizikal).

Sedangkan kajian menunjukkan, sokongan moral oleh orang tersayang di sekeliling merupakan antara faktor yang kuat membantu pesakit ini untuk terus berjuang.

Analoginya, anda disahkan menghidap kanser.

Bukankah urusan rawatan chemotherapy, radiotherapy dll selama berbulan-bulan itu nanti akan lebih kuat untuk dihadapi, apabila ahli keluarga sendiri memberi sokongan, mendoakan kesihatan?

Bukankah lebih tenang hati apabila mendapat kasih sayang ahli keluarga sendiri. Walaupun dalam keadaan mental sedang tenat, sekurang-kurangnya, sumber kekuatan itu ada.

PERANAN KITA SEBAGAI ORANG TERDEKAT

Perkara pertama ialah, hentikan stigma.

Tuntutlah ilmu, dalami pengetahuan berkenaan kesihatan mental. Banyak page di FB yang seringkali berkongsi mengenai kesihatan mental, apa yang patut dibuat, apa yang tak patut dibuat.

Sekarang zaman Google.

Tiada alasan untuk tidak tahu mengenai apa-apa jenis penyakit mental ini.

MESEJ UNTUK PENGHIDAP KECELARUAN MENTAL

Sebagai founder kepada page Aiman Psikologis, saya berasa terpanggil untuk menyediakan medium kepada orang ramai, terutama kepada si penghidap kecelaruan mental ini, untuk berkongsi kisah anda.

Saya bukan seorang Psikologis dan sudah tentu, saya bukan menyediakan servis untuk rawatan atau konsultansi.

Tetapi saya menyediakan platform untuk anda berkongsi dan menulis kisah perjuangan anda dalam menjalani kehidupan seharian sebagai penghidap kecelaruan mental.

“Anda tidak keseorangan. Ada orang ambil berat. Ada orang yang mahu mendengar cerita anda.”

Kita mahu mesej ini sampai kepada sesiapa saja yang mempunyai kecelaruan mental di luar sana.

Oleh itu, projek ini dilancarkan kepada awam, untuk anda berkongsi cerita anda, ataupun mahu membaca kisah-kisah perjuangan penghidap lain.

Semoga dengan usaha yang ringkas ini, memberi impak yang amat besar kepada semua, terutama dalam usaha kita melawan stigma masyarakat terhadap kecelaruan mental.

“Tidak sempurna kesihatan seseorang itu tanpa kesihatan mentalnya.”

Terimalah, Projek “MENTAL – Perjuangan Dalam Senyap”

Sebuah inisiatif yang dilancarkan sebagai platform yang memberi peluang kepada penghidap-penghidap kecelaruan mental di Malaysia untuk berkongsi kisah perjuangan mereka yang biasanya dilalui secara senyap, tanpa pengetahuan keluarga terdekat atau kawan-kawan di sekeliling.

Anda boleh luahkan kisah perjuangan anda di sini:
https://mental.aimanpsikologi.com/hantar-cerita/

Semua perkongsian dan luahan akan diterbitkan semula di laman web projek MENTAL

Semoga ini menjadi pembuka mata dan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai pentingnya dan peritnya isu kesihatan mental ini.

#PengkajiMindaManusia
#PerjuanganDalamSenyap
#LetsTalk #TheHiddenStruggle