AnxietyDepression

Penghidap GAD Tanpa Sedar

Saya berusia 20an, lepasan ijazah di sebuah universiti awam. Alhamdulillah, sebelum saya tamat belajar saya sudah mendapat tawaran kerja di tempat yang saya sedang latihan industri.

Inilah adalah pengalaman kerja saya yang pertama. Rupa paras saya tidaklah secantik adik beradik saya yang lain. Saya juga tidak sebijak adik beradik yang lain. Dalam adik beradik saya mempunyai rupa yang amat berbeza dari adik beradik yang lain.

Saya mempunyai 5 adik beradik termasuk saya. Saya anak perempuan yang ke-4. Antara kami berlima saya seorang sahaja yang kidal. Pendek kata, saya seorang sahaja serba serbi berbeza dari mereka.

Dari kecil mereka bergurau dengan berkata “Achik anak angkat” “Achik anak pungut”. Pada mula gurauan itu dapat kuterima namun lama kelamaan, makin berkecil hati dengan kata-kata mereka.

Tambahan pula, saya rasa seperti anak yang menyusahkan kerana saya seorang sahaja yang bersalin songsang. Yang lain semua normal. Dengan rupa paras yang tidak secantik mana serta tidak setinggi mana, keyakinan saya tidak pernah tinggi. Saya terlalu merendah diri. Dalam lubuk hati teringin menonjolkan diri, teringin masuk berdebat, berpidato tapi apakah daya, saya berasa hanya orang yang mempunyai paras rupa sahaja yang mudah terpilih.

Usia saya kian meningkat, apabila saya ingin membantu didapur, saya sering dicemuh “ Ishh, potong apa bawang macam ni,” “Rimas la tengok achik pegang pisau” “Meh la, mak buat, rimas tengok” Ya, walaupun mak saya pun kidal, namun mak saya boleh menggunakan kedua-dua tangannnya.

Maknanya jika kerja dapur, seperti memotong atau memasak mak boleh menggunakan tangan kanan. Malangnya tidak bagi saya. Saya memang kekok dan tidak pernah menggunakan tangan kanan kecuali makan nasi.

Dalam keluarga saya sentiasa berceloteh bercerita. Saya seorang periang dan pelawak dalam keluarga. Walhal, dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Dari kecil saya sering dibanding-bandingkan oleh sepupu yang sebaya. Keyakinan diri saya makin menurun.

Setiap kali saya Berjaya dan berbangga menunjukkan markah saya, saya pasti terima ayat ini “Ni ja? 80% ja? Kenapa tak 90%?” Dan apabila saya mendapat 90% “Kenapa tak 100%?” Saya jadi sedih. Usaha tidak mendapat penghargaan namun saya percaya bukan itu niat sebenar ibubapa saya.

Mungkin mereka hendak saya lebih semangat untuk mengejar yang terbaik tetapi malangnya penerimaan saya berbeza. Tekanan ini makin hebat apabila saya hendak menyambung diploma.

Saya mendapat tawaran ke Politeknik dan Universiti Awam. Kedua dua institusi ini menawarkan jurusan yang berbeza. Saya tertarik untuk ke Politeknik. Malangnya dihalang mentah mentah oleh si ayah dengan alasan jauh. Saya terpaksa akur walaupun tidak begitu meminati.

Zaman Diploma inilah starting point saya berubah menjadi perfectionist. Dek kerana belajar dalam bidang pengurusan, ianya mengubah cara saya 100%. Hal ini berlanjutan hingga saya menyambung pelajaran ke bidang ijazah sarjana. Inilah titik mula saya merasa, diri saya berbeza.

Semasa saya diploma, saya sering mengeluh dan menangis kerana tidak mampu hendak membawa subjek. Setiap sem, perkara itu yang akan saya utarakan. Namun Berjaya habiskan diploma saya. Kini, saya menyambung pelajaran pula.

Hal itu tetap terjadi, setiap sem akan menangis kerana terasa bebanan yang perlu dipikul. Angah selalu marah “Achik ni lemah la, bukan tak boleh,” Akhirnya saya tidak mengadu lagi. Segala seksa saya pendam sendiri. Menangis sendiri. Tidak saya tipu saya terasa sunyi dan kosong.

Masuk tahun kedua saya mula lupa nama rakan yang merupakan rakan serumah, sekelas dan juga satu kumpulan untuk assignment. Mana mungkin dan tidak logic untuk saya lupa nama mereka. Tetapi itu yang terjadi. Saya tak ingat nama mereka. Saya jadi tak boleh tidur. Jam 3-6 pagi saya baru boleh lelapkan mata. Semua tu saya pendam sendiri, kerana saya rasa itu bukan masalah.

Apabila saya keseorangan fikiran saya terfikir benda yang ngeri. Tingkap bilik saya terbayang kepala orang terbelah terkena bucu tingkap. Almari dalam rumah terhempap dekat badan. Dapur gas meletup. Saya jadi takut.

Namun tidak terfikir saya ada masalah mental.

Saya biarkan lagi kerana saya tidak tahu pada siapa saya patut merujuk. Apabila saya sakit. Walhal sakitnya sikit sahaja tetapi saya akan risau seperti saya akan menghidapi penyakit kronik. Jika saya sakit dimana mana bahagian, saya akan cari punca kenapa sakit tu terjadi. Bagaimana saya boleh sakit, otak saya sentiasa hendak berfikir.

Saya juga tidak banyak meluahkan perasaan saya pada orang lain. Segala pahit atau benda yang mennguris perasaan saya, saya pendam sendiri. Saya suka bersiap dan bermakeup, namun sering diusik oleh abang ipar “Macam hantu”. Hati ini terasa, lalu saya tidak bersiap.

Namun masih diusik lagi “Macam orang gaji je,” hati ini sedih dan terasa. Apabila seseorang yang suka menegur saya tiba-tiba tidak menegur saya pada hari itu. Saya akan susah hati dan berfikir bermacam-macam kemungkinan. Adakah saya buat salah, adakah saya tersilap cakap dll. Itu buat saya tak tidur malam berfikir.

Makin memuncak apabila mula masuk alam pekerjaan. Apabila terpaksa berurusan dengan pengurus yang moodnya sekejap swing sekap okay membuatkan saya lagi tekanan dan serba salah. Tambahan lagi, kerja melibatkan duit syarikat membuatkan saya tidak keruan dan tidak tidur malam memikirkan kerja.

Setelah hampir 6 bulan bekerja. Tekanan ini terasa makin berat, saya rasa seperti hendak tidur sepanjang hari. Saya mula ke tempat kerja lambat dengan keadaan selekeh. Saya mula berasa malas. Saya berasa hendak berhenti kerja. Pada saat itu, saya rasa saya perlukan pertolongan. Saya bercerita hal itu pada kakak ketiga, kerana dia bekerja dihospital mungkin dia tahu serba sedikit.

Lalu mencadangkan untuk membuat ujian DASS. Saya cuba dan keputusan SANGAT TERUK!

Ujian tersebut dibuat pada bulan Disember. Saya menangguhkan untuk ke klinik kesihatan kerana kata-kata kakak saya “Takut ada rekod” Saya jadi takut. Jadi saya mendiamkan diri untuk ke KK.

Tapi alhamdulillah saya berlawan dengan perasaan saya, saya ke KK dan berjumpa dengan doctor. Doktor turut memberi tarikh pada saya untuk dirujuk pada psychiatrist. Pada mulanya, saya hanya bercerita pada mak yang saya berjumpa dengan doctor untuk rawatan, entah bagaimana ayah saya pun turut mengetahui.

Dia jadi risau. Saya jadi serba salah. Sebenarnya, lagi menyebabkan tekanan sebab abah dengan mak selalu bergaduh dirumah. Dirumah hanya tinggal kami bertiga kerana saya bekerja berdekatan rumah sahaja.

Saya tidak tahu perlu diluah pada siapa. Mereka bergaduh hal yang kecil. Saya lagi bertambah stress. Ditempat kerja stress dirumah juga stress.

Setelah berjumpa dengan psychiatrist, saya disahkan menghidap General Anxiety Disorder (GAD). Saya baru masuk fasa kemurungan. Doktor memuji tindakan awal saya untuk mencari bantuan. Temujanji kedua doctor memanggil kedua ibubapa saya untuk diterangkan keadaan saya.

Saya jadi sedih dan serba salah apabila ayat mak saya “Saya tak sangka dia sedih, sebab dalam keluarga dia penyeri. Dia suka menghiburkan orang dalam keluarga tu, tanpa dia rumah jadi sunyi”

Mak saya akui dari kecil, apabila tiba hari hujan dan angin kuat saya akan menjerit menangis untuk lari keluar dari rumah, kerana takut pokok kelapa jatuh menghimpap rumah.

Alhamdulillah kini emosi saya sedikit terkawal, orang-orang tersayang banyak membantu. Saya masih bergantung pada ubat. Insya-Allah doakan saya cepat sembuh. Sesungguhnya saya amat takut dengan kemurungan kerana orang sekeliling yang saya kenali ada kemurungan. Saya jadi takut.

– ST –

Berminat untuk menghantar kisah “perjuangan dalam senyap” anda? Klik di sini

Komentar FB

Komen

%d bloggers like this: